Tutup

Polis serbu pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram di Johor

Polis serbu pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram di Johor
BNM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia membuat serbuan ke atas lima premis yang didakwa menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen di Johor pada Rabu lepas. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia membuat serbuan ke atas lima premis yang didakwa menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen di Johor pada Rabu lepas.

Menurut BNM dokumen berkaitan dan wang tunai berjumlah RM300,000 telah dirampas dalam serbuan yang dilakukan di beberapa lokasi termasuk di Kota Tinggi Pandan, Senai dan Kempas untuk membantu siasatan.
Aktiviti menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA) dan ia adalah satu kesalahan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), menurut BNM dalam kenyataan pada Jumaat. 

BNM berkata mana-mana individu atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) MSBA dan disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
"Berdasarkan AMLA, mana-mana individu yang melakukan kesalahan pengubahan wang haram dan disabitkan kesalahan, boleh dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai perolehan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi," menurut BNM.

Bank pusat menasihatkan orang ramai supaya tidak berurusan atau menjalankan apa-apa urusan pengurupan atau pengiriman wang dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram dan ejen mereka.

"Mana-mana individu yang berurusan dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram akan mendedahkan diri mereka pada risiko kerugian kewangan dan tindakan undang-undang yang berkaitan boleh diambil terhadap mereka oleh pihak berkuasa berkenaan.

"Orang ramai sewajarnya hanya berurusan dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang berlesen," kata BNM

-- BERNAMA