Polis sedang menyiasat laporan yang mendakwa satu kenyataan biadap berunsur hasutan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah dimuatnaik di laman sosial Facebook.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor laporan itu dibuat pengiring Sultan Selangor di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam pada 11.15 pagi semalam.

“Ada laporan dibuat di Shah Alam semalam, ada siasatan. Apapun biarlah kita lihat daripada semua sudut dahulu. Kita (polis) tidak mahu komen di peringkat ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutupan KursusProgram Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan), Program Diploma Siswazah Sains Kepolisan dan Diploma Eksekutif Sains Siasatan sesi 2017/2019 di maktab PDRM, di Cheras hari ini.

Majlis disempurnakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Ahad lalu tersebar hantaran daripada FB dengan nama ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ yang didakwa mengajak kaum Cina melakukan bantahan berkaitan penggunaan tulisan jawi.

Terdahulu, pada majlis itu, 100 pegawai polis, pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerima sijil tamat kursus selepas menamatkan program selama 18 bulan.

Seramai 22 pegawai polis dan tiga pegawai ATM menerima Ijazah Sarjana Sains Sosial, manakala 33 pegawai polis dan dua pegawai ATM menamatkan pengajian Diploma Siswazah Sains Kepolisan.

Seramai 37 pegawai polis dan dua pegawai atm pula berjaya menamatkan program Diploma Eksekutif Sains Siasatan.