Kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan yang maut pada 14 Jun lalu kini diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi Astro Awani malam ini.

“Pengklasifikasian semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibuat berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta keputusan bedah siasat yang diperolehi,” katanya.

Sebelum ini, perhatian pada kemungkinan kematian Nazrin adalah berpunca dari letupan telefon pintar yang didakwa meletup akibat terlalu panas.


BACA: Jenazah Nazrin Hassan selamat dikebumi

Pada 14 Jun lalu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din mengesahkan kejadian kebakaran di sebuah rumah, melibatkan bilik tidur utama di tingkat atas rumah teres dua tingkat tersebut.


Menurut Komander Operasi Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Damansara Ramli Harun, mangsa ketika kejadian berada di bilik berkenaan seorang diri.

Sebuah portal akhbar tabloid Bahasa Inggeris hari ini mendakwa keputusan makmal mendapati terdapat kesan minyak petrol dijumpai pada empat lokasi di kepala, bingkai katil, tilam dan telefon bimbit mangsa.

Nazrin, 45 tahun, meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.