Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Polis siasat kewujudan sindiket baharu penyeludupan etnik Rohingya

Polis siasat kewujudan sindiket baharu penyeludupan etnik Rohingya
Kawalan di bahagian utara Selat Melaka diperketatkan melibatkan kerjasama antara Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia. - Gambar fail
SEPANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kewujudan sindiket baharu penyeludupan etnik Rohingya ke negara ini melalui negeri-negeri di utara Malaysia, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Ini berikutan polis mendapat maklumat terdapat cubaan untuk membawa masuk etnik Rohingya ke negara ini secara haram, katanya.
Berikutan itu, katanya kawalan di bahagian utara Selat Melaka diperketatkan melibatkan kerjasama antara Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Abdul Hamid berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai 65 pelarian etnik Rohingya diselamatkan PPM baru-baru ini, yang ditemui pada jarak 3.3 batu nautika di perairan Pulau Kendi, Pulau Pinang dalam keadaan kebuluran setelah hanyut 20 hari ketika cuba diseludup sindiket penyeludupan migran.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis perbarisan tamat latihan asas pegawai dan pembantu keselamatan penerbangan (polis bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd) di Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas hasrat seorang guru tadika wanita M.Indira Gandhi untuk menyaman beliau kerana dikatakan gagal menemui anak perempuannya yang hilang selepas diculik bekas suami, Abdul Hamid berkata ia terpulang kepada wanita berkenaan.

"Saya tidak ada masalah dengan itu. Dia (Indira) boleh saman ke apa semua. Saya mengambil pendekatan untuk jalankan satu usaha supaya kedua-dua pihak dapat diketemukan dan masalah ini dapat dirungkai selain kebajikan anak-anak dapat dijaga," katanya.

Abdul Hamid turut meminta bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah supaya tampil berunding agar anak-anak yang terlibat dapat tinggal dalam negara dan menikmati pendidikan yang sempurna.

"Tak payah menyorok-menyorok lagi. Tampil ke hadapan. Masyarakat tidak tahu dia di mana, saya tahu dia di mana," katanya.

Muhammad Riduan, 47, menukar agama tiga anaknya kepada Islam pada April 2009 tanpa persetujuan Indira Gandhi, selepas mereka bercerai dan dia memeluk Islam. Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan pada 2018 memutuskan penukaran agama tiga anak itu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Muhammad Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya, Prasana Diksa kepada bekas isterinya.