Polis menahan 12 pelajar yang disyaki terbabit dalam kes memukul seorang pelajar tingkatan tiga sehingga lebam pada bahagian muka dan badan di sebuah sekolah di daerah Pasir Mas, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kesemua mereka yang ditahan itu berusia antara 15 hingga 17 tahun.

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 2.30 petang dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menggerakkan usaha mengesan kesemua suspek.

"Susulan itu, sembilan daripada mereka ditahan di sekolah terbabit pada 5.30 petang semalam selepas mangsa membuat laporan dan dua ditahan di rumah masing-masing, manakala seorang lagi hadir menyerah diri di balai polis.

"Melalui ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas kesemua pelajar terbabit mendapati semuanya adalah negatif," katanya.

Kejadian yang berlaku pada 6 petang, Ahad lalu dipercayai disebabkan berebut teman wanita sehingga menyebabkan mangsa yang berusia 15 tahun lebam di muka dan badan selepas dipukul.

Mangsa dipercayai dipukul di dalam kelas selepas aktiviti sukan di sekolahnya dan terdapat rakaman video itu yang juga tular di media sosial sebelum mangsa membuat laporan polis, semalam.


Mohamad Roy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

"Pihak kami akan menyiapkan kertas siasatan dengan kadar segera untuk diberikan kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya.