Polis menahan dua individu yang disyaki menjadi dalang provokasi dan kekecohan ketika perjumpaan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, usaha akan diteruskan untuk mengesan individu lain yang terbabit dalam kejadian tersebut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 153, 355, 357 dan 506 Kanun Keseksaan, masing-masing kerana mendatangkan kebangkitan marah menyebabkan rusuhan, menyerang atau menggunakan kekerasan dengan niat menjatuhkan kehormatan seseorang, menyerang atau menggunakan kekerasan untuk mengurung orang secara salah dan menakutkan seseorang secara jenayah.

"Polis juga menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat kes itu secara telus, tegas dan berintegriti tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

BACA: Syed Saddiq terpaksa lari, guna jalan tikus, lompat pagar

BACA: Armada buat laporan polis berhubung kumpulan serang Syed Saddiq

Mengulas lanjut, Abdul Hamid turut menyeru semua pihak agar menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak bertindak dalam apa jua cara yang boleh menimbulkan provokasi, sehingga menganggu ketenteraman awam.

"Orang ramai diseru untuk tidak mempolitikkan insiden ini dan menyebarkan sebarang maklumat yang tidak berasas melalui mana-mana platform komunikasi atau media sosial," jelasnya.

Pada insiden itu, dilaporkan kira-kira 200 individu berbaju hitam dan merah mencetuskan kekecohan ketika Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman makan malam bersama ahli keluarga, rakan-rakan dan pimpinan parti itu di sebuah restoran di Ulu Tiram, di Johor Bahru.

Kumpulan itu dilaporkan mengeluarkan kata-kata kesat, lucah dan ugutan serta mendesak Ahli Parlimen Muar itu keluar dari Johor ketika mengepung restoran terbabit yang mempunyai pelanggan wanita serta kanak-kanak.