Dua lelaki yang menjadi buruan polis kerana dipercayai aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah ditahan di kawasan letak kereta Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah, Bentong, Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri, Supt Lam Thian Huat berkata, kedua-dua mereka, masing-masing berusia 24 dan 40 tahun, ditahan bersama 2.27 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM68,125 pada jam 10 malam.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, sepasukan pegawai serta anggota polis dari JSJN Pahang mengepung sebuah kereta jenis Honda City yang dinaiki oleh kedua-dua suspek yang diletakkan di kawasan terbabit.

"Sebaik pegawai dan anggota kita memperkenalkan diri, seorang daripadanya cuba meloloskan diri, namun berjaya diberkas. Memang berlaku sedikit pergelutan antara anggota polis dan suspek.

"Kita minta salah seorang suspek membuka bonet kereta dan mengeluarkan satu beg kain yang dipercayai mengandungi dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Lam berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua suspek membawa kepada penemuan dadah jenis syabu seberat 2.90 gram yang dianggarkan bernilai RM435.

"Suspek mengaku memperoleh bekalan itu dari ibu negara dan untuk diedarkan di sekitar Bentong, Temerloh serta kawasan Felda berdekatan," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek berusia 40 tahun memiliki tiga rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah sementara suspek berusia 24 tahun tidak mempunyai rekod lampau.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula Isnin lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," tambahnya.