announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Polis tahan lelaki OKU berhubung kes gangguan seksual ADUN Bandar Utama

Polis tahan lelaki OKU berhubung kes gangguan seksual ADUN Bandar Utama
ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dipercayai menjadi mangsa gangguan seksual di laman sosial.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditahan polis berhubung dakwaan gangguan seksual yang dibuat melalui laman sosial terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari, Khamis.

Beliau memberitahu, berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku memuat naik komen berbaur gangguan seksual di media sosial.

"Semakan  mendapati suspek juga terlibat dalam kes membabitkan Ketua Pemuda MCA, Wong Siaw Ting di mana gambar dan nama beliau disalahguna di Facebook untuk melakukan kesalahan jenayah pada 21 April lalu," katanya di sini, pada Khamis.

Nik Ezanee menambah, suspek yang mempunyai kad OKU itu sedang menjalani rawatan psikiatri di sebuah hospital sejak 2016.

Lelaki itu, kata beliau disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Sebelum ini, beberapa pemimpin termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan gangguan seksual ke atas dua ADUN di laman sosial masing-masing.

Anwar dalam hantaran di Twitternya turut menggesa siasatan segera dijalankan oleh pihak berkuasa.