Seorang penuntut perempuan sebuah pusat pengajian tinggi swasta ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembuangan bayi lelaki yang baru dilahirkan di Padang Hiliran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K.Manoharan berkata suspek yang berusia 21 tahun itu ditahan pukul 3 petang Khamis lalu selepas selesai menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

"Bagaimanapun, remaja itu dibebaskan tiga jam selepas itu dengan jaminan polis selepas selesai memberi keterangan ekoran keadaannya yang masih lemah," katanya kepada Bernama hari ini.

Selasa lepas, penuntut itu disyaki bertindak membuang bayi lelaki yang cukup sifat di dalam mangkuk tandas di rumah sewanya di sini.

Kejadian itu disedari rakan serumah penuntut itu pada 2.30 pagi selepas melihat suspek terbaring di depan pintu tandas dalam keadaan lemah selain terkejut melihat tompokan darah dan seorang bayi di dalam mangkuk tandas.

Manoharan berkata hasil bedah siasat mendapati bayi berusia 38 minggu itu meninggal dunia ketika dilahirkan.

Beliau berkata pihaknya juga mengambil keterangan anggota keluarga suspek serta teman lelakinya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.