Polis menahan sepasang suami isteri di sebuah rumah di Felda Bukit Sagu 2 di sini malam tadi kerana memperdaya seorang jurujual dengan menawarkan bantuan membebaskan sepupu mangsa daripada tuduhan dadah di mahkamah.

Kedua-dua suspek berusia 36 dan 49 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam tadi selepas mangsa, wanita berusia 22 tahun, membuat laporan polis kerana mengalami kerugian RM3,500 akibat diperdaya pasangan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku pada 9 Mac lalu ketika mangsa berada di perkarangan Mahkamah Majistret di sini, berjumpa dengan suspek pertama yang memperkenalkan diri sebagai Kak Ani.

"Kak Ani memaklumkan kepada mangsa bahawa suaminya seorang anggota polis dan menawarkan bantuan pembebasan sepupu mangsa daripada tuduhan dadah di Mahkamah Kuantan.

"Kemudian, Kak Ani memberi kepada mangsa nombor telefon bimbit suaminya, sebelum wanita itu berhubung dengan suami suspek yang dikenali sebagai Izuan, menggunakan aplikasi WhatsApp," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Wazir berkata, pada 3 Mei lalu, mangsa berjumpa dengan Kak Ani dan suaminya di sebuah pusat membeli belah di daerah ini bagi membincangkan urusan pembebasan sepupunya.

"Suami Kak Ani menyatakan mangsa perlu membayar RM3,500 bagi bayaran kepada pihak mahkamah. Pada 18 Mei lalu, mangsa menyerahkan wang berkenaan kepada Izuan secara serahan tunai.

"Izuan memaklumkan kepada mangsa, urusan itu akan selesai dan sepupunya akan dibebaskan kelmarin," katanya sambil menambah, mangsa menyedari dia sudah ditipu apabila kedua-dua suspek tidak hadir di mahkamah pada Isnin dengan alasan berkursus di Putrajaya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman bermula hari ini sehingga Sabtu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan, serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.