Polis tahan tujuh individu, rampas dadah bernilai hampir RM1 juta

Polis tahan tujuh individu, rampas dadah bernilai hampir RM1 juta
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din (dua,kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam lapan serbuan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor Bahru, hari ini. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Satu sindiket pengedaran dadah tumpas dengan tertangkapnya empat lelaki, dua wanita warga Vietnam dan seorang wanita tempatan, serta rampasan dadah bernilai hampir RM1 juta dalam beberapa serbuan di Johor.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata kesemua suspek ditahan dalam serbuan di beberapa kondominium dan rumah sekitar Batu Pahat dan di Kempas, di sini, bermula pukul 8.00 malam, Selasa lepas sehingga 1.30 petang keesokan harinya.

Beliau berkata dengan penahanan itu, pihak polis percaya telah melumpuhkan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai telah beroperasi sejak dua tahun lepas.

"Mereka yang ditahan merupakan empat lelaki tempatan berusia 29 hingga 48 tahun; seorang wanita berusia 46 tahun dan dua wanita warga Vietnam berumur 25 dan 27 tahun. Wanita-wanita itu merupakan isteri kepada tiga orang suspek lelaki," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya antara yang dirampas dalam serbuan itu ialah 27.69 kg heroin; 5.7 kg syabu; 1.5 kg ketamin; 1,800 biji pil eramin 5; 870 biji pil ecstasy dan 170 biji pil Yaba, yang bernilai keseluruhan RM806,305, serta sepucuk pistol CZ75 Compact CAL.9 Luger, satu kelopak peluru, dan 13 butir peluru hidup.

Kamarudin berkata polis turut menyita lima kereta jenis Lexus, BMW, Hyundai Tucson, Honda Accord dan Toyota Camry, dua utas jam tangan berjenama, tiga utas rantai leher emas, 22 bentuk cincin emas, sepasang anting-anting emas, wang tunai RM10,665 dan mata wang asing SGD111, yang nilai keseluruhannya berjumlah RM267,545.50.

"Berdasarkan semakan, tiga daripada suspek lelaki didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah dan gaduh," katanya.

Semua suspek kini direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 27 Januari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Sementara itu Kamarudin , beliau berkata sejak 1 Januari hingga semalam (22 Jan), seramai 1,236 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan dadah di Johor melibatkan rampasan 113 kg dadah bernilai RM1.55 juta.

-- BERNAMA


Tag: sindiket pengedaran dadah, warga Vietnam, rampasan dadah, serbuan, Polis Johor



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.