Polis Terengganu telah merakamkan percakapan lima individu bagi membantu siasatan kes pesara guru yang maut ditembak dari jarak jauh di kawasan rumahnya di Kampung Padang Midin di sini pada Ahad lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata kesemua mereka yang berumur antara 30 hingga 50 tahun terdiri daripada anggota keluarga dan jiran mangsa telah memberi keterangan kepada pihak polis pada Selasa.

Katanya sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan polis sedang mengenal pasti motif utama kejadian tembakan ini.

"Kita masih belum mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian ini namun kita telah menubuhkan satu pasukan bagi menjalankan siasatan terperinci dan mencari petunjuk kes ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program kepolisan masyarakat di Masjid Bukit Kandis di sini hari ini.

Mangsa yang bersara sebagai guru Mei tahun ini membuat kerja sambilan sebagai kontraktor binaan.

Rosli berkata polis turut mengambil dua telefon bimbit milik mangsa bagi membantu siasatan dan mencari petunjuk berhubung kejadian itu menerusi panggilan terakhir yang dibuat dan diterima serta rekod yang lain.

Beliau berkata peluru dalam kes itu telah dihantar ke makmal Jabatan Kimia untuk ujian balistik dan perlu tempoh dua minggu untuk ketahui hasil ujian itu.