Polis mengesahkan menerima panggilan ancaman bom dalam sebuah pesawat yang berpatah balik ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang Jaya, pada Selasa malam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Zani Che Din memberitahu Astro AWANI bahawa maklumat daripada pemanggil yang tidak dikenali pada kira-kira jam 8 malam itu mendakwa wujudnya bom dalam salah sebuah pesawat yang mahu berlepas ke Singapura.

Pesawat itu difahamkan telah mendarat semula di lapangan terbang tersebut.

Beliau berkata sebaik sahaja pesawat itu mendarat, pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh ke atas pesawat yang membawa 30 penumpang serta empat anak kapal tersebut.

Katanya, hasil siasatan yang dilakukan mendapati tiada bom ditemui.