Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan pihaknya mengganggu siasatan yang sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap syarikat SRC International.

Kenyataan itu dikeluarkan Khalid selepas beberapa pegawai SPRM dipanggil polis bagi dirakam percakapan mereka.

Jelas Khalid, pihak polis hanya menjalankan tugas dan tidak menerima arahan daripada mana-mana pihak.

"PDRM jelas dalam hala tuju siasatannnya ke atas kes di mana dokumen rasmi kerajaan dan perbankan yang dibocorkan telah dimanuipulasi pihak tertentu untuk tujuan menganggu gugat kestabilan negara.

"Siasatan dalam aspek tersebut akan dikemukakan kepada pihak peguam negara untuk arahan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehingga kini, pihak polis telah merakam keterangan sembilan pegawai SPRM bagi membantu siasatan berhubung kebocoran dokumen termasuk Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamed Zin.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali pada Rabu mengakui siasatan terhadap kes SRC International Sdn Bhd terjejas akibat penahanan pegawai SPRM pada Rabu.

Tambah Khalid, masyarakat harus memahami bahawa setiap agensi kerajaan mempunyai tugas dan tanggungjawab tersendiri dalam menjalankan siasatan.

"Namun ia tetap selari dengan tujuan asalnya iaitu mencari kebenaran," kata Khalid sambil menambah hasil siasatan dalam aspek berkenaan akan dikemukakan kepada pihak peguam negara untuk arahan selanjutnya.

Atas dasar itu, Khalid menegaskan pihak polis tidak sesekali mengganggu siasatan atau mencampuri tugas dan tanggungjawab SPRM sehingga menjejaskan hubungan kerja antara agensi terbabit.

Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bersifat 'menangguk di air keruh' dan memberi peluang kepada agensi terbabit menjalankan tugas mereka tanpa campur tangan pihak berkepentingan atau mempunyai agenda tersirat.