Polis akan mengadakan pertemuan dengan pihak Transit Aliran Massa (MRT) bagi membincangkan kerjasama untuk meningkatkan tahap keselamatan pengguna di kawasan pengangkutan awam itu dalam masa terdekat.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata ia susulan kes seorang wanita dipukul sebelum disamun di dalam lif di sebuah stesen MRT di Taman Mutiara bulan lepas.

"Kami turut mengarahkan pasukan peronda polis (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan pasukan bertindak bagi membantu kawalan keselamatan di stesen MRT," katanya pada sidang media Program Kepolisan Berprofil Tinggi (HPP) di kawasan Tesco Extra, Taman Midah di Cheras dekat sini pada Selasa.


Beliau berkata pihak yang bertanggungjawab menjaga keselamatan di kawasan perkhidmatan awam berkenaan dinasihatkan agar melaporkan segera kepada pihak polis berhubung sebarang aktiviti jenayah.

"Jangan bertindak secara bersendirian kerana penjenayah akan bertindak di luar jangkaan termasuk mencederakan sesiapa sahaja.Saya juga mencadangkan agar pihak bertanggungjawab menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) termasuk menggunakan CCTV berkualiti tinggi," katanya.

Mazlan berkata polis Kuala Lumpur berjaya menurunkan kadar indeks jenayah sebanyak 17 kes bersamaan dengan 68 peratus pada tahun lepas di sekitar kawasan Tesco Extra, Taman Midah.

Beliau berkata pasukan itu juga mengurangkan lebih separuh kadar jenayah curi dalam bangunan iaitu sebanyak lapan kes sahaja pada tahun lalu berbanding 25 kes pada tahun 2017.

"Ia secara tidak langsung menunjukkan keberkesanan serta komitmen polis menjalankan tugas demi keselamatan dan ketenteraman awam di ibu negara," katanya.

Beliau berkata empat program HPP yang dianjurkan pihaknya diadakan di sekitar ibu negara sepanjang tahun ini.

Katanya program itu bertujuan mendidik komuniti supaya memainkan peranan dalam membanteras jenayah selain menjadi 'mata dan telinga' kepada pihak polis, dan memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap trend jenayah terkini dengan mengedarkan risalah pencegahan jenayah, Volunteer Smartphone Patrol (VSP) serta sistem semakan online.

-- BERNAMA