Seorang remaja lelaki ditahan selepas bertindak menumbuk seorang anggota polis trafik di belakang kepalanya di tepi jalan berhampiran bulatan Kampung Lebak Moyoh, dekat sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 3.15 petang, suspek berusia 19 tahun itu dikatakan tiba-tiba menyerang seorang anggota polis trafik yang sedang melakukan tugas susulan satu kemalangan melibatkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah motosikal jenis Honda Wave.

Kejadian itu juga sempat dirakamkan orang ramai yang menyaksikan insiden terbabit sebelum memuat naik di laman sosial sehingga menjadi tular sejak petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah yang mengesahkan kejadian itu berkata, suspek remaja itu ditahan di lokasi berkenaan dengan bantuan sepasukan anggota polis yang bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan daripada pengadu.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati pengadu yang juga seorang anggota polis berpangkat koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud itu dikatakan tiba di lokasi kejadian untuk mengambil gambar kemalangan terbabit sebelum didatangi dua lelaki yang disyaki ahli keluarga mangsa kemalangan berkenaan.


"Selepas pengadu selesai mengambil gambar, dia didatangi oleh dua lelaki menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga yang merupakan ahli keluarga mangsa kemalangan itu.

"Semasa pengadu memperkenalkan diri sebagai anggota polis, secara tiba-tiba dia ditumbuk di belakang kepalanya oleh seorang lelaki tidak dikenali (suspek).

"Susulan daripada kejadian itu, anggota polis berkenaan kemudiannya meminta bantuan daripada trafik IPD Kota Belud sebelum sepasukan anggota tiba dan membuat tangkapan ke atas suspek di lokasi kejadian," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan sekiranya sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.