Pihak polis masih menunggu laporan perubatan berhubung kecederaan yang dialami bayi berusia empat bulan, Putri Wafa Mohd Saifudin yang masih terlantar koma di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Menurut Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya, pihaknya perlu meneliti faktor kecederaan pada bayi malang itu dari semua aspek sebelum mengambil tindakan susulan.

Katanya, terdapat pelbagai faktor yang mengakibatkan pendarahan pada retina kedua-dua belah mata dan pendarahan otak selain berpunca dari penderaan.

"Buat masa sekarang ni tidak ada tangkapan lagi dibuat oleh kerana kita masih lagi menunggu laporan perubatan yang rasmi daripada pihak hospital.

"Kita juga nak tahu kecederaan yang dialami mangsa itu berapa lama, umur kecederaan tu agak-agak berapa lama sebelum kita membuat tindakan selanjutnya dalam penyiasatan kita," tambah Mohd Nashir.

Sehingga kini, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001.

Difahamkan, pusat asuhan yang telah beroperasi selama tiga tahun di Sungai Petani itu kini telah mempunyai 18 kanak-kanak mulai usia dua bulan hingga empat tahun dengan jumlah penjaga seramai empat orang.

Pusat asuhan itu juga turut didaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarat (JKM).

Putri Wafa dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani pada1 Julai lalu selepas mengalami sawan.

Bagaimanapun, bayi itu dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk diletakkan dibawah penjagaan pakar perunding kanak-kanak ekoran pendarahan yang teruk pada bahagian retina kedua-dua belah mata dan pendarahan otak.