Kemelut pembahagian kerusi antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah hanya dapat diselesaikan dengan adanya kerjasama serta hubungan setiakawan yang baik, kata Ketua Bersatu Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Katanya, kesepakatan itu amat penting untuk memastikan kemenangan bagi mengambil alih kerajaan negeri yang ada sekarang.

Jelas Nizam, dengan adanya matlamat yang sama, pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan berjalan lancar.

“Saya yakin apabila matlamat dalam parti-parti komponen ataupun gabungan Perikatan Nasional adalah satu tujuan yang sama. Saya yakin perkara tentang pembahagian kerusi itu akan dapat diselesaikan dengan semangat setiakawan, Insya-Allah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai sokongan DUN Apas kepada dirinya, Nizam berkata dia mempunyai hubungan baik dengan rakyat di kawasan itu.

“Kita memang bersiap sedia. DUN Apas ini seperti mana yang kita lihat pada hari ini, di mana-mana saya pergi, sambutan masyarakat kepada saya selaku wakil rakyat cukup baik.

"Kerana, saya menganggap mereka ini bukan sebagai pengundi saya, tetapi sebagai keluarga saya.

“Sebab itu hubungan saya dengan mereka sentiasa rapat. Tidak kira masa pilihan raya atau bukan pilihan raya… saya adalah orang yang senang didekati yang senang dihubungi,” katanya lagi.

Nizam berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Ibadah Qurban sempena Hari Raya Aidiladha bersama 20 anggota keselamatan ESSCOM dan penduduk kampung di Kampung Batu Payung di sini.

Beliau turut menyumbangkan 14 ekor lembu untuk dikorbankan dan diagihkan kepada penduduk di kawasan DUN Apas.