Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua lelaki kerana disyaki terlibat dalam politik wang bagi pemilihan pemimpin cabang PKR di Kedah, pada Sabtu.

Menurut sumber, suspek pertama berusia 48 tahun ditahan pada pukul 12.20 tengah hari di sebuah restoran di Alor Setar, manakala suspek kedua, 46 tahun, ditahan pada jam 3.25 petang di Plaza Tol PLUS Pendang.

Kedua-dua suspek dikatakan meminta wang suapan RM20,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan agar namanya yang telah didaftarkan untuk pemilihan parti dikekalkan di dalam sistem, sekali gus layak untuk bertanding.

Sumber berkata, suspek terbabit sebelum itu telah memaklumkan kepada lelaki terbabit bahawa namanya dan beberapa individu lain lagi akan digugurkan daripada senarai calon, namun boleh dikekalkan sekiranya membayar suapan tersebut.

Tambah sumber, susulan penahanan itu, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM10,000 daripada kedua-dua suspek.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

"Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pagi ini bagi tujuan permohonan reman.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009," ujarnya.