Ponggal merupakan perayaan menuai yang disambut selama empat hari pada bulan Thai di dalam kalendar kaum india.

Ia sempena berakhirnya musim menuai, dimana hasil tuaian ditujukan kepada Suriabhagawan atau Dewa Matahari.

Ponggal disambut pada hari pertama bulan Thai. Bulan Thai merupakan bulan ke-10 di dalam kalendar kaum india. Bulan ini, disambut dengan hadiah dan pakaian baru untuk ahli keluarga serta doa kepada dewa untuk kemakmuran di tahun-tahun akan datang. Bulan Thai juga sangat sesuai untuk perkahwinan.

Rumah-rumah dihiasi dengan daun mangga dan lantai dihiasi dengan corak-corak yang dilukis menggunakan tepung beras atau beras berwarna. Ada juga yang mengikat batang tebu di luar rumah mereka.

Hari pertama perayaan Ponggal dikenali sebagai 'Bhogi'. Ia hari untuk Indran iaitu Dewa Awan dan Hujan. Sebelum matahari terbit, unggun api besar dinyalakan dan dibiarkan membakar sepanjang malam untuk membakar barang-barang lama. Rumah kemudian dibersihkan dan dihiasi dengan corak dan bunga.

Hari kedua pula dipanggil 'Thai Pongal' yang khusus untuk Dewa Matahari. Ungkapan 'Ponggal' bermakna 'meluap-luap', ia menggambarkan hasil tuaian yang banyak.

Apabila susu sedang mendidih, ahli keluarga akan berkumpul di sekitar periuk dan melaungkan ucapan 'Ponggal-O-Ponggal' semasa susu mengalir keluar.

Hari ketiga, yang dikenali sebagai 'Mattu Pongal' adalah khusus untuk haiwan lembu. Hari ini adalah untuk pengembala berterima kasih kepada ternakan mereka.

Mereka akan mewarnakan tanduk lembu dan menghiasi dengan pakaian dan topi logam bersinar. Lembu diberi makan 'Ponggal' dan loceng diikat di leher mereka.

Hari terakhir pula dikenali sebagai 'Kaanum Pongal', ia merupakan hari yang istimewa untuk wanita. Pada hari ini, wanita sulung di rumah akan bangun awal dan menyapukan kunyit pada muka semua wanita muda dan melumurkan minyak kepada rambut mereka.

Selepas mandi, semua wanita-wanita akan menawarkan bebola nasi berwarna kepada burung-burung. Kaum wanita akan berdoa untuk keluarga yang sihat dan gadis-gadis yang belum berkahwin berdoa untuk perkahwinan yang bahagia.

Ahli-ahli keluarga yang lebih muda pula akan memberi penghormatan kepada orang-orang tua untuk mendapatkan restu.