Pos Malaysia akan terus komited menyediakan perkhidmatan penghantaran pos dalam membantu orang ramai pada kadar yang berpatutan.

Ia berikutan ancaman Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat (USPS) meninggalkan Kesatuan Pos Sedunia (UPU) pada 17 Oktober ini dijangka mencuri tumpuan pada Kongres UPU khas yang kini berlangsung di Geneva, Switzerland bermula Selasa.

Ia didakwa boleh menjejaskan kadar kiriman pos ke luar negara dan turut memberi kesan secara langsung terhadap Malaysia.

Sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan dan rata-rata menjurus ke arah impak yang melibatkan kenaikan harga kepada semua pengendali pos seluruh dunia.

UPU mengadakan kongres khas selama tiga hari sehingga esok selepas kerajaan Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Donald Trump mengancam untuk menarik diri daripada kesatuan itu.

Pos Malaysia dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, Malaysia menetapkan pendirian untuk meneruskan status quo dan menyatakan bahawa c yang baharu serta matang perlu diteliti sebelum diserahkan pada kongres berikutnya iaitu Kongres UPU Abidjan tahun depan.

“Kemungkinan pilihan baru yang dicadangkan oleh AS akan dipilih melalui kongres luar biasa ini.

“Undian bagi proses itu kini berlangsung pada hari ini dan esok. Pos Malaysia akan mengemaskini keputusan yang dibuat dengan sewajarnya,” katanya.

Pos Malaysia kini menjalinkan kerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia dan badan-badan yang bertanggungjawab mengenai kaedah membantu orang ramai yang terkesan akibat kadar yang tinggi dan ketidakstabilan sistem pos di seluruh dunia.

Menurut kenyataan itu, keutamaan Pos Malaysia kini adalah untuk memastikan perkhidmatan yang disediakan berada dalam kadar mampu bagi semua pengguna.

“Walaupun Pos Malaysia perlu menangani perkara ini untuk meminimumkan kesan kepada pengguna dan perniagaan di Malaysia, kami tidak akan terlepas pandang mengenai agenda transformasi yang bakal berlaku,” katanya.