Tutup

Positif dadah, 190 anggota polis berdepan tindakan dibuang kerja

Positif dadah, 190 anggota polis berdepan tindakan dibuang kerja
Mohd Khalill (dua kanan) menunjukkan antara hasil rampasan ketika serbuan satu hari Ops Damn Token 2.0 pada 29 Oktober lalu. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Enam pegawai kanan adalah antara 190 anggota polis yang ditahan dalam operasi “Ops Blue Devil” yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, baru-baru ini.

Operasi yang dijalankan sejak 13 Ogos lalu, bertujuan membanteras aktiviti dadah dalam kalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), melibatkan pemeriksaan terhadap 5,385 anggota polis.
Menurut Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader, daripada jumlah tersebut, seramai 161 anggota dikesan positif dadah jenis methamphetamine.

Jelas Mohd Khalil, kesemua mereka kini diletakkan di bahagian pentadbiran bukan operasi (Non-operational) dan berdepan tindakan dibuang kerja sekiranya didapati bersalah.
“Selepas saringan pertama dan apabila mereka didapati positif, kita akan hantar kepada Jabatan Patologis untuk mengesahkan keputusan rasmi saringan.

“Kemudian kita akan sabitkan mereka di mahkamah seperti mana orang awam,” katanya.

Mohd Khalil berkata demikian pada Majlis Pemakaian Pangkat pegawai kanan JSJN di Dewan Theatrette Menara 1, Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khalil berkata operasi mencegah aktiviti dadah dalam kalangan anggota polis akan diteruskan sehingga ke akar umbi dan PDRM dapat dibersihkan daripada najis tersebut.

“Dalam pada itu, kita telah mulakan pendidikan di peringkat Pusat Latihan yang mana pucuk pimpinan akan hadir bersama pelatih. Kita mesti terbuka kepada perkara ini dan pelatih harus didedahkan dengan kesan sekiranya mereka tersalah langkah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khalil turut memaklumkan pihaknya telah menahan reman 2 lelaki warga Nigeria kerana disyaki terlibat dalam merekrut rakyat Malaysia sebagai keldai dadah.

Kedua-dua suspek ditahan menerusi Operasi Alsum yang dijalankan pada 25 Oktober lalu. 

“Dalam operasi khas yang dijalankan, kita telah berjaya menangkap 2 lelaki warga Nigeria. Dalam tangkapan tersebut, kita berjaya merampas sebanyak 227 gram (g) kokain yang dianggarkan bernilai RM55,000.

“Kita juga merampas sebuah kenderaan jenis Nissan Sentra dan hasil siasatan kita dapati suspek tiada rekod jenayah dan ujian air kencing terhadap mereka didapati negatif,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa setakat tahun ini, seramai 86 rakyat Malaysia telah ditahan di luar negara kerana menjadi keldai dadah.

Justeru itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah yang cuba mengambil kesempatan terhadap rakyat negara ini dengan menawarkan sejumlah wang.

“Rakyat Malaysia yang ditawarkan kerja ke luar negara diminta untuk membuat semakan dengan jabatan-jabatan berkaitan kerana mereka yang menawarkan pekerjaan biasanya mengambil kesempatan terhadap desakan kita yang memerlukan wang.

“Apabila diberi bag atau barang-barang untuk dibawa, kamu berhak untuk periksa. Ini kerana, jika kamu ditangkap, kami (pihak berkuasa) tidak dapat membantu kerana ia tertakluk kepada undang-undang negara tersebut.