Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) menggesa agar kerajaan melakukan kiraan terhadap stok beras secara fizikal serta merekodkan lokasi penyimpanan beras di seluruh negara.

Yang Dipertua PPBMM, Mohamad Termizi Yop berkata, usaha itu bagi memastikan bekalan padi dan beras dapat diedarkan dengan adil kepada para pengilang dan pemborong selain memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi pada setiap masa.

Katanya, pihak Padi Beras Nasional (Bernas) tidak patut meminggirkan pengilang dan pemborong yang bukan anak syarikatnya dalam aspek bekalan padi dan beras demi menjamin bekalan sentiasa mencukupi di setiap kawasan.
kenyataan media, PPBMM
"PPBMM mempersoalkan di manakah stockpile (stok simpanan) beras negara disimpan dan bagaimanakah mekanisme pengedaran stock beras dilaksanakan.

"Ahli-ahli persatuan yang ingin membeli beras tempatan untuk dibungkus dan dijual secara runcit di pasaran gagal mendapatkan bekalan dari pihak Bernas," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Termizi berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah mengarahkan pengilang Melayu di Terengganu dan Kelantan agar membekalkan beras kepada pemborong di kedua-dua negeri tersebut.

"Dimanakah tanggungjawab Bernas ketika ini pada ketika negara sedang menghadapi kekurangan bekalan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini?

"Dalam masa sama, di negeri Perak khususnya syarikat Bumiputera Melayu seperti Yop Zaman Sdn. Bhd. cuba mendapatkan bekalan beras dari Bernas, tetapi tiada stok beras.

"Apakah tindakan kerajaan khususnya dalam membantu pemborong bagi mendapatkan bekalan pada ketika ini," ujarnya.