Pasukan Polis Marin (PPM) 'memusnahkan' hajat seorang juragan bagi menyeludup 1,000 biji telur penyu dalam satu serbuan di kawasan Sungai Batu Tiga, dekat sini, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, telur penyu dianggarkan bernilai RM2,000 itu ditemui di tepi parit besar di kawasan berkenaan.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata sebelum kejadian, pihaknya menerima maklumat hasil risikan dan pemantauan seorang pegawai serta empat anggota PPM Sandakan.

“Namun kehadiran anggota bertugas disedari juragan bot lalu bertindak memecut bot ke arah laut meninggalkan beberapa kotak warna coklat berisi plastik hitam.

"Seterusnya pemeriksaan mendapati, plastik hitam itu berisi telur penyu yang dianggarkan sebanyak 1,000 biji.

"Ia dipercayai untuk dipasarkan kepada orang awam di sekitar pasar daerah Sandakan dan disyaki diseludup dari negara jiran, Filipina,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.

Mohamad berkata, semua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan bagi proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, kes disiasat dibawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.