Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 (W5) Sarikei telah mencatat satu lagi kejayaan apabila berjaya merampas 220 batang kayu balak serta pelbagai peralatan bernilai RM425,750.00 dari sebuah kilang kayu di Debak, Betong pada Selasa.

Komander PPMW5 Sarawak, ACP Shamsol Kassim berkata, hasil pemeriksaan ke atas sebuah kilang kayu tersebut pada jam 2.30 petang tersebut mendapati pemilik kilang tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen ataupun lesen yang sah berkaitan dengan operasinya di kilang terbabit.

" Pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak kami mendapati batang kayu balak yang berada di kilang berkenaan telah dipotong dan tiada sebarang tanda hak milik dari Jabatan Hutan serta tanda cukai.

"Maka,pihak PPW5 Sarikei telah bertindak merampas kayu balak yang diperolehi secara tidak sah itu," katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Pelbagai jenis kayu balak yang terdapat di kilang berkenaan didapati tidak mempunyai sebarang tanda hak milik dari Jabatan Hutan. - Foto ihsan PDRM

Tambahnya, keseluruhan nilai rampasan membabitkan kayu balak termasuk dua unit mesin memproses papan lapis, satu unit mesin bermata gergaji, sebuah jentolak dan sebuah jentera angkat susun.

"Kesemua barang kes termasuk kayu balak dan pelbagai peralatan di kilang berkenaan telah dirampas manakala pemilik kilang terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan dan diserahkan kepada Jabatan Hutan Bahagian Sri Aman untuk tindakan seterusnyaā€¯,ujarnyal.

Setakat ini, kes disiasat di bawah Ordinan Perhutanan Sarawak 2015.