Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kemungkinan akan dilaksanakan kembali jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohammad berkata, pihaknya akan mempertimbang dan melaksanakan perkara itu jika mendapat sokongan rakyat.

"Jika majoriti rakyat mahukan PPSMI dikembalikan semula, kita akan laksanakan. Terpulang kepada rakyat dan kita akan pertimbangkan jika itu yang mereka mahu," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Tertutup Dengan Pemimpin PH Pahang di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi PH Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman dan ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

PPSMI diperkenalkan ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri secara berperingkat bermula sesi persekolahan 2003, sebelum dimansuhkan bermula tahun 2012 selepas mendapat kritikan daripada pemimpin politik, ibu bapa dan pakar bahasa.

Dalam pada itu, mengulas mengenai lawatannya ke Pekan hari ini, beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada siri jelajah untuk membantu PH berdepan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 nanti.

"Saya datang ke Pekan hanya untuk bercakap dan berjumpa dengan rakyat, tidak timbul soal saya melakukan kunjungan balas selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat Langkawi baru-baru ini," katanya.

Sementara itu, mengenai calon PH untuk berdepan Najib pada pilihan raya umum akan datang, Dr Mahathir berkata, pihaknya belum memutuskan siapa calon yang layak untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan.

Bagaimanapun katanya, proses pembahagian kerusi untuk ditandingi parti komponen PH sudah hampir selesai dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.