Kerajaan Pulau Pinang memutuskan untuk tidak membenarkan premis gunting rambut dibuka atau beroperasi di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang yang dipengerusikannya hari ini.

"Bagi sektor perkhidmatan gunting rambut asas yang turut diumumkan (oleh kerajaan pusat semalam), kerajaan negeri memandang serius berhubung peratusan lebih daripada 95 peratus maklum balas awam yang menyatakan kebimbangan mereka.

"Malah mesyuarat turut mengambil kira persoalan seperti faktor jarakan sosial dan kemungkinan menyebabkan wujudnya kluster baharu," katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook peribadinya, di sini hari ini.

Justeru, beliau berkata mesyuarat JKKN memutuskan bahawa kerajaan Pulau Pinang berhak untuk tidak mengikut keputusan kerajaan pusat sekiranya ia masih dilaksanakan dan berharap kerajaan mengkaji semula perkara itu demi keselamatan semua pihak.

BACA: PKP: Kedai gunting rambut, dobi antara 9 sektor yang dibenar beroperasi

BACA: PKP 3: KKM saran kerajaan tangguh sementara operasi kedai gunting rambut

Semalam, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan beberapa sektor tambahan beroperasi antaranya industri automotif, projek pembinaan serta perkhidmatan terpilih termasuk perkhidmatan gunting rambut asas untuk beroperasi secara berperingkat semasa PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April depan.

Sementara itu, Chow berkata kerajaan negeri akan melanjutkan tempoh operasi bagi perkhidmatan penjualan kedai input pertanian (baja/racun), perkakasan, penjualan makanan haiwan dan ubatan sehingga 5 petang mulai 13 April ini.

"Tempoh operasi akan dilanjutkan kepada 5 petang iaitu bermula dari 8 pagi hingga 5 petang berbanding ketika ini dari 8 pagi hingga 2 petang. Hari pengoperasian masih dikekalkan iaitu dua kali seminggu pada hari Isnin dan Khamis," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan rakyat negeri ini agar berhati-hati ketika membuat pembelian penutup hidung dan mulut secara dalam talian (online).

Katanya perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan 60 kertas siasatan penipuan perniagaan penutup hidung dan mulut secara dalam talian direkodkan dalam tempoh 30 Jan hingga 9 April lalu di lima daerah di negeri ini membabitkan kerugian RM466,496.

-- BERNAMA