Premis yang menyimpan bahan radioaktif digesa meningkatkan aspek kawalan keselamatan bagi mengelakkan bahan itu dicuri atau disalahgunakan bagi tujuan keganasan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, hospital, klinik dan universiti perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) keselamatan menggendalikan bahan radioaktif yang ditetapkan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pihaknya akan berkerjasama dengan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memastikan SOP keselamatan membabitkan bahan radioaktif dipatuhi.

Ahmad Zahid yang menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington Amerika Syarikat baru- baru ini menegaskan 53 negara termasuk Malaysia komited menyokong resolusi memastikan bahan nuklear tidak jatuh ke tangan pengganas.

"Komitmen kerajaan Malaysia serta KDN khususnya PDRM dan agensi agensi penguatkuasaan yang lain akan menentukan agar resolusi antarabangsa ini akan kita terjemahkan dalam bentuk tindakan supaya tidak berlaku.

Malaysia komited untuk melakukan tindakan-tindakan demikian", katanya di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini.