Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia Shahrul Nasrun Kamarudin menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Kota Baharu pada pemilihan parti, Oktober depan.

Beliau berkata langkah itu diambilnya bagi menyahut seruan Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mahu melaksanakan transformasi politik, terutama untuk meraih kembali sokongan golongan muda di negara ini.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Futsal Merdeka 2013 Suara Generasiku di Pengkalan Chepa di sini, malam tadi, Shahrul Nasrun, 27, anggota Pemuda Umno cawangan Atas Banggol di sini, berkata beliau akan membawa pendekatan drastik supaya Umno Bahagian Kota Baharu dekat dengan golongan muda.

Jawatan Ketua Pemuda Umno Kota Baharu kini kosong selepas penyandangnya, Datuk Rosmadi Ismail melepaskan jawatan tersebut atas faktor had umur.