Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) N27 Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada 13 April depan.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata penamaan calon ditetapkan pada 30 Mac manakala tarikh mengundi awal ialah pada 9 April.

“Tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas penamaan calon dan berlangsung sehingga 11.59 malam pada 12 April 2019.

"Anggaran kos bagi menjalankan PRK ini adalah RM1.8 juta," katanya dalam sidang media di Menara SPR, Putrajaya, hari ini.

Pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi yang ditetapkan adalah di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas pencabarnya Dr S Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan SPR.



Bagi menjalankan proses PRK ini, SPR telah bersetuju melantik Pegawai Daerah Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus sebagai Pegawai Pengurus PRK DUN Rantau.

Mohd Nizam akan dibantu oleh empat penolong pegawai pengurus.

Borang penamaan calon boleh dibeli mulai Khamis di Pejabat Pengurus Pilihan Raya di Pejabat Daerah dan Tanah Seremban atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sembilan atau di Ibu Pejabat SPR.