PRK P.Pauh: Cari wakil rakyat pandai buat 'roti canai terbang'

PRK P.Pauh: Cari wakil rakyat pandai buat 'roti canai terbang'
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang Pauh pada 7 Mei.
PERMATANG PAUH: Di Pasar Awam Taman Samagagah atau lebih dikenali sebagai Market Permatang Pauh, terdapat banyak gerai makanan yang menyediakan juadah makan pagi, namun yang paling mendapat perhatian kebanyakan penduduk di kawasan setempat ialah roti canai terbang.

Pemiliknya, Azhar Ahmad, 46, sudah berniaga di tapak itu sejak lebih 17 tahun lalu dan dikenali hampir seluruh penduduk di Permatang Pauh sendiri.

Roti canai terbangnya seperti ada ramuan rahsia yang membuatkan pelanggannya tetap menunggu walaupun hujan atau panas.

Azhar menjelaskan semuanya biasa sahaja, cara menguli dan persediaannya sama seperti peniaga roti canai lain namun mungkin cara canainya agak berbeza.

"Apabila saya 'menerbangkan' roti canai ini, itu menjadikan roti canai ini lain dari biasa.
"Pelanggan akan memberi komen positif dan kagum dengan cara saya mencanai, peniaga ubat di sebelah gerai ini selalu memberi komentar seperti pengulas sukan bola sepak.

"Namun penebar roti canai ini sama seperti ahli politik sebenarnya, walaupun kadang-kadang tebaran udara saya menjadikan roti canai itu 'koyak', pelanggan tetap meminati roti canai saya," katanya.

Ketika mengulas mengenai calon wakil rakyat di kawasan itu, Azhar dalam nada jujur menjelaskan, kekuatan legasi Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh adalah sepertinya.

FOTO GALERI: Kes Liwat II: Anwar Ibrahim dipenjara lima tahun

"Kalau Anwar masuk penjara sekalipun, saya tetap menyokongnya, sepanjang peniaga di kawasan ini mencari rezeki, kami akhirnya mendapat sedikit tempat berniaga yang selesa di kawasan ini.

"Cuma sewa dinaikkan 100 peratus baru-baru ini membuatkan kami sedikit terkilan, daripada RM30 dinaikkan ke RM60, ini sedikit membebankan peniaga kecil seperti kami," jelasnya dalam nada sedikit kesal.

Kekesalannya tidak hanya diluahkan di situ, pada masa sama tepung yang dicanainya koyak dan Azhar dengan tenang membaiki tepung yang dicanainya itu lantas letakkan atas kuali.

BACA:
Anwar hilang kelayakan untuk mengundi - SPR

Dr Wan Azizah kembali bertanding di Permatang Pauh


Baginya, hukuman yang dikenakan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini seolah menyebabkan dirinya sedikit gusar dengan calon pengganti Anwar di Permatang Pauh.

Bagaimanapun katanya, kesemua empat calon iaitu Suhaimi Sabudin, 44, daripada BN; Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 62 (PKR); calon bebas Salleh Isahak, 53; dan Azman Shah, 50 (Parti Rakyat Malaysia) mempunyai peluang untuk menjadi pakar 'roti canai terbang' di Permatang Pauh.

"Memang payah untuk jadi wakil rakyat di sini, perlu jaga hati rakyat seperti memanjakan adunan roti canai terbang, tetapi jika berjaya kelak, jadikan Permatang Pauh terkenal seperti 'roti canai terbang' saya," ujarnya.

Dan kini tinggal kurang 24 jam lagi sebelum 71,890 pengundi memilih siapa wakil rakyat 'roti canai terbang' mereka.