Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berharap Dasar Perumahan Kerajaan Negeri Sembilan diteruskan walaupun parti itu tidak lagi mentadbir negeri berkenaan.

Ia berikutan jika dasar berkenaan tidak dilaksanakan, usaha menyediakan perumahan mampu milik kepada penduduk tidak dapat diteruskan.

“Saya tidak tahu ia diteruskan atau tidak. Namun saya berharap Dasar Perumahan Kerajaan Negeri Sembilan sebaiknya diteruskan kerana ada lapisan-lapisan.

"Untuk B40 kerajaan ambil alih dengan kerjasama dengan Majlis Perumahan, kerajaan negeri beri tanah, dan kementerian bina rumah. Yang untuk B40 ada RM80,000 ke bawah. Untuk M40 ada RM250,000 dan RM450,000 ke bawah. Ada macam-macam.

“Kita juga bagi tanah kepada PPAM. Harga rumah tu jadi jauh lebih rendah, namun tidak disambung oleh kerajaan sedia ada. Dalam kawasan Sendayan kita lancar 350 rumah bawah RM70,000 tetapi selepas PRU14, ia tidak diteruskan kerajaan,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di Rantau.

BACA: Streram berjanji akan selesai isu perumahan rakyat di Rantau

Astro AWANI sebelum ini melaporkankan bahawa pengundi di Rantau mahukan PPR atau perumahan mampu milik dibina di Rantau.

Bilangan penduduk yang semakin bertambah di Rantau menyebabkan rakyat dikatakan berdepan dengan masalah kekurangan tempat tinggal di bandar kecil itu.

Mengulas lanjut katanya, Dasar Perumahan Kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini banyak memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Kita buat Dasar Perumahan Negeri Sembilan dan kita tidak lagi mengikut Dasar Perumahan Negara di mana kita tidak wajibkan pembinaan rumah kos rendah. Kalau kita lihat rumah murah ini menjadi masalah sosial seperti masalah dadah, jadi Negeri Sembilan tak lagi guna dasar perumahan kerajaan Negeri Sembilan dan wajibkan semua 50 peratus mesti rumah mampu milik,” jelasnya lagi.