Bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menganggap Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai merupakan satu peluang keemasan baginya untuk membuktikan kepada parti bahawa beliau bukan seorang pengkhianat.

Hishammuddin, yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, kerja keras dan komitmen yang beliau tunjukkan sepanjang tempoh berkempen itu membuktikan beliau masih setia kepada Barisan Nasional.

"Dari dulu lagi saya tak pernah tunduk pada tuduhan akan keluar dari parti dan sebagainya, tetapi setiap kali saya jawab, mereka alihkan 'tiang gol' itu.

“Jadi cara terbaik saya nak patahkan tuduhan fitnah adalah melalui tindakan saya sendiri, Dan apabila kita turun bawah yang kenali saya, mereka tak percaya fitnah. Tetapi mungkin ada strategi tertentu yang hendak melaga-lagakan kita. Mungkin Tanjung Piai ini peluang keemasan untuk saya buktikan, bukan dengan jawapan tetapi dengan tindakan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Sejak beberapa bulan ini, timbul dakwaan Hishammuddin akan meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional, mengikut jejak beberapa ahli parlimen lain.

Selain itu, beberapa pihak mendakwa beliau turut mencuba membawa beberapa ahli parlimen dari UMNO untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia atas alasan mahu memastikan Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat sokongan yang mencukupi untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal ini.