Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz mengumumkan berehat daripada arena politik sekali gus tidak akan mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak enam penggal.

Perkara tersebut diumumkan dalam mesyuarat jawatankuasa cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka.

Abdul Wahab menjelaskan keputusannya untuk bersara adalah kerana faktor usia, selain mahu memberi peluang kepada pemimpin muda membangunkan Kalaka dan rakyat di DUN tersebut.

Sepanjang enam penggal menyandang kerusi DUN Kalaka Abdul Wahab pernah berada dalam Kabinet Sarawak. Beliau pernah memegang jawatan Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar pada 2010-2013.

Beliau juga pernah menjadi Menteri Muda Perumahan dan Perancangan Bandar serta Menteri Muda Pembangunan Tanah pada 2013-2016.

Pada mesyuarat tersebut Abdul Wahab turut menyerah surat serah tugas sebagai Ketua Cawangan PBB Kalaka kepada Kaunselor Mohamad Duri yang juga Timbalan Ketua PBB Kalaka sebelum ini.

Mohamad Duri turut dicadang sebagai calon PBB bagi menggantikan Wahab untuk DUN Kalaka.