Bila Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan semakin hangat diperkatakan. Namun bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS), mereka bersedia untuk kembali ke gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada bila-bila masa.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata selaku teraju Kerajaan Negeri Sarawak, GPS telah memenuhi aspirasi dan keperluan rakyat Bumi Kenyalang menerusi program dan pembangunan yang dijalankan.

Soal bila PRN akan diadakan bukan masalah buat GPS katanya.

“Kemungkinan pilihan raya akan diadakan sama ada tahun ini ataupun awal tahun hadapan jadi kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya itu," jelas Abdul Karim dalam temubual khas bersama AWANI Sarawak di pejabatnya di Baitulmakmur di sini.

Tambah Abdul Karim wakil rakyat GPS telah melunaskan janji dan tanggungjawab mereka dengan mengambil peduli kebajikan rakyat di kawasan masing-masing.

"Kita sentiasa menjalankan tanggungjawab kita tanpa memikirkan bahawa pilihan raya akan datang atau bulan depan atau tahun depan kita tidak pedulikan itu.

"Sebab itu kalau kita lihat semua wakil rakyat GPS mengetahui masalah berlaku di tempat mereka kerana kalau kita tidak turun padang dan tidak berhubung dengan kawasan kita tidak akan dapat tahu," ujarnya

Tambahnya lagi asas keyakinan GPS adalah berdasarkan penerimaan rakyat terhadap gabungan parti tempatan itu yang terbentuk pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"Kekalahan itu memang bukan bagi kita.

"Bukan sombong. Kita tahu apa yang telah kita buat dan Insyallah kita akan memenangi pilihan raya ini," jelas Abdul Karim.

GPS terdiri daripada empat parti komponen iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) Parti Demokratik Progresif (PDP).

Sehingga kini GPS kekal dengan pendiriannya menjadi entiti politik Sarawak yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Kelapan tanpa menjadi ahli Perikatan Nasional.

Baca: GPS terus sokong Muhyiddin - Abang Johari

Baca: GPS sokong Muhyiddin, demi kestabilan Kerajaan Persekutuan