Tutup

'Produktiviti kakitangan awam akan terjejas jika buat #2kerja' - CUEPACS

'Produktiviti kakitangan awam akan terjejas jika buat #2kerja' - CUEPACS
AZIH: Kalau penjawat awam diberi kebebasan serupa, macam mana kekuatan kerajaan kalau pegawai perkhidmatan awam buat dua kerja untuk sara kehidupan. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Produktiviti kakitangan awam yang melakukan dua kerja dibimbangi akan terjejas kerana melakukan tugasan melebihi kemampuan diri.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, paling penting kadar upah yang dibayar pada kerja utama mampu untuk menyara kos sara hidup individu berkenaan.

Secara keseluruhannya, kata Azih, CUEPACS tidak menyokong cadangan yang dilontar Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

"Fokus dalam kerja ini sudah jadi 100 peratus. Tidak boleh fikir soal lain, kecuali fikir hendak makan, hendak bayar sewa rumah, hendak hantar anak ke nursery, sekolah, utiliti, hendak bayar sewa kereta.
"Kalau penjawat awam diberi kebebasan serupa, macam mana kekuatan kerajaan kalau pegawai perkhidmatan awam buat dua kerja untuk sara kehidupan," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Maslan berkata, realiti kehidupan masa kini memaksa individu berpendapatan rendah melakukan dua pekerjaan bagi menjana kewangan untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
Jelasnya, tindakan sebegitu digalakkan oleh kerajaan sebagai salah satu usaha untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup.

Mengikut Perkara 5 (Pekerjaan Luar) Pengenalan Tatatertib Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), seseorang pekerja tidak boleh membuat kerja luar kecuali dibenarkan Ketua Jabatan dan dianggap tugas rasmi selain honoranium ditentukan oleh Perbendaharaan.

Selain itu, ia bukanlah untuk faedah diri, saudara-mara dan badan bukan berasaskan keuntungan dengan kebenaran Ketua Jabatan.

Ia juga perlu di luar waktu bekerja, tidak menjejaskan prestasi pegawai, serta tidak bercanggah dengan kepentingan perkhidmatan awam sendiri.

Dalam pada itu, kata Azih, masih belum ada negara luar yang boleh dijadikan asas untuk konsep itu diikuti kalangan penjawat awam.