Profil Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang didakwa diedarkan dalam majlis dialog anjuran Northern Ireland Council for Racial Equality(NICRE) di bangunan Parlimen Northern Ireland, United Kingdom memberi gambaran salah mengenai suasana sebenar negara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia sekali gus mencemar nama baik negara dan membuktikannya tidak layak mewakili suara perpaduan buat Malaysia.

"Saya merujuk kepada pendedahan seorang rakyat Malaysia yang hadir di sebuah majlis bertajuk "Dialogue With Minister Moorthy on the Review of Hate Crime Law In Northern Ireland" pada 23 Januari lepas di Bangunan Parlimen Ireland Utara.

"Walaupun tidak menyampaikan ucapan yang panjang namun profil Waytha secara jelas memberikan gambaran salah mengenai suasana sebenar di Malaysia.

"Profil tersebut hampir sama sahaja seperti kenyataan beliau yang tular di dalam media sosial pada suatu ketika sewaktu bukan bergelar seorang menteri," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Profil Waytha yang diedarkan di dalam majlis tersebut secara jelas memberi gambaran bahawa Malaysia berada di dalam keadaan serba gawat, tidak menghormati prinsip hak asasi manusia, membenarkan pertukaran agama secara paksa dan berlakunya perobohan kuil secara berleluasa.

Sama ada disengajakan atau tidak, Reezal menegaskan tindakan itu biadab dan kurang ajar.

"Ia tindakan yang sama sekali tidak memberi gambaran yang benar dan cukup terpesong berkenaan Malaysia.

"Waytha sudah secara terbuka menghina nama baik Malaysia buat kesekian kalinya. Lebih parah, tindakan kali ini diambil ketika mana beliau menjawat jawatan menteri dan mewakili Kabinet dan kerajaan.

"Waytha telah menjadi liabiliti besar kepada Kabinet dan kerajaan sejak dari awal pelantikannya ke dalam kabinet,"ujarnya.

Reezal juga menjelaskan, dengan apa yang berlaku, Waytha sewajarnya diberikan nasihat untuk meletakkan jawatan atau dipecat dengan seberapa segera.