Kerajaan Negeri Terengganu bakal memperkenalkan program anak susuan patuh syariah bermula tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata bagi peringkat permulaan pihaknya mensasarkan 30 hingga 40 wanita untuk menjadi ibu susuan.

Menurutnya inisiatif yang dilakukan itu bagi membantu para ibu yang bekerjaya sekaligus dapat mewujudnya peluang kerjaya kepada wanita yang tidak mempunyai pendapatan.

“Pertamanya banyak ibu yang bekerjaya turun rumah pukul 7 pagi balik pukul 6 petang. Lepas itu timbul satu kesedaran di situ dan akhirnya kita merasakan ibu susuan sangat penting.

“Yang kedua kita melihat kepada ibu-ibu yang berada di kampung yang tidak bekerja dan tubuh badannya sihat dan mungkin mempunyai susu yang sangat lebih jadi satu kerjaya kepada ibu ini. Kita ambil mereka duduk di satu tempat dan bayar sedikit imbuhan kepada mereka,” katanya katanya pada sidang media selepas menghadiri Seminar Kekeluargaan Islam: Anak Susuan Patuh Syariah Peringkat Negeri 2019 di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya hanya menggalakkan wanita yang telah berkahwin bagi menyertai program tersebut.

Jelasnya lagi rekod ibu serta anak susuan sentiasa diperkemaskan supaya tidak berlaku kejadian berkahwin dengan anak susuan.