Penduduk di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah ini yang menghadapi masalah mendapatkan bekalan makanan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan menerima bantuan di bawah Program Bantuan Makanan Kerajaan Sarawak.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi negeri, Dr Annuar Rapa'ee berkata senarai penerima dan latar belakang mereka yang terbabit akan disemak dan diteliti oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) bagi mengelak nama tercicir.

Menurutnya, bagi penduduk tinggal di kawasan bandar di kelima-lima kawasan DUN itu, mereka boleh menghantar permohonan melalui aplikasi WhatsApp yang diwujudkan JPBBS, manakala di luar bandar boleh memohon menerusi tuai rumah atau ketua kampung masing-masing.

"Kesemua mereka yang terputus bekalan makanan sama ada dari kawasan DUN pembangkang atau kerajaan boleh mengemukakan permohonan. Program bantuan ini tidak melihat soal fahaman politik.

"Apa yang penting ialah kesinambungan hidup mereka yang terjejas," katanya pada sidang media pada Selasa.

Terdapat lima DUN di daerah Sibu, iaitu Pelawan dan Bukit Assek (DAP); Dudong serta Bawang Assan (PSB); dan Nangka (GPS-PBB).

Di bawah program itu, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1 juta bagi lima DUN di daerah ini.

Dr Annuar yang juga ADUN Nangka berkata sejak talian dibuka pada Ahad lepas sehingga semalam, sebanyak 2,306 permohonan diterima, dan 317 keluarga yang terjejas telah menerima bantuan makanan.

Menurutnya, di setiap DUN terdapat pusat pengagihan makanan (FDC) yang berperanan mengurus dan menghantar bantuan makanan kepada mereka yang layak dengan segera.

Beliau berkata sejumlah 6,903 keluarga lagi dari 341 rumah panjang termasuk empat perkampungan Melanau di luar bandar dalam lima DUN berkenaan telah dikenal pasti dan penghantaran bantuan makanan secara berperingkat akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Dr Annuar menafikan dakwaan laporan sebuah portal berita pada 5 April lepas kononnya beliau mengawal dana RM1 juta yang diperuntukkan kerajaan negeri bagi program bantuan makanan itu.

Menurutnya, dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana dana berkenaan disalurkan terus kepada JPBBS yang diberi tanggungjawab menguruskan program bantuan kerajaan negeri itu.

-- BERNAMA