Kualiti program pengajian Matrikulasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) adalah setaraf dan diiktiraf beberapa universiti di luar negara, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan berkata proses penyamataraan kelayakan bagi program matrikulasi dan STPM telah dilaksanakan secara bersepadu oleh kementerian bagi mengekalkan standard dan kualiti kedua-dua program itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) mengenai perbezaan taraf kelayakan program matrikulasi dan STPM pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Katanya sehingga kini terdapat sebanyak 227 lepasan matrikulasi sedang menyambung pengajian mereka di universiti luar negara.

"Kelayakan lepasan matrikulasi juga buat masa ini diterima oleh beberapa universiti di luar negara contohnya di United Kingdom ada 10 universiti antaranya University of Manchaster dan King's College of London, di Australia pula University of Sydney, di Indonesia dan New Zealand juga.

"STPM pula diiktiraf banyak universiti di peringkat antarabangsa terutamanya di negara Komanwel dan di Amerika Syarikat dan Ireland juga...kebanyakan univeriti menganggap keputusan STPM ini sama taraf dengan A level malah ia dipantau oleh wakil daripada taksiran Cambridge untuk kekalkan kualiti dan piawaian," katanya.

Sementara itu menjawab soalan asal Sim berkenaan jumlah pelajar yang berjaya diterima masuk ke program matrikulasi mengikut kaum, Kamalanathan berkata berdasarkan pengambilan tahun lepas sebanyak 24,249 pelajar telah memasuki program itu.

Daripada jumlah itu sebanyak 21,814 pelajar bumiputera dan 2,345 pelajar bukan bumiputera terdiri 1,142 pelajar India, 1,212 pelajar Cina dan 81 pelajar dari kaum lain, jelasnya.