Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan jumlah penagihan dadah yang mencecah lebih 25 ribu kes pada 2017 menunjukkan program pencegahan masalah melibatkan bahan terlarang itu kurang berkesan.

Katanya, keadaan itu sekali gus menuntut pihak berkenaan mencari jalan penyelesaian bagi mengekang kes penagihan dadah yang baharu atau berulang.

"Saya ingin berkongsi sedikit, apabila suami saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berada dalam penjara, dia sendiri berdepan masalah apabila ramai penghuni terjebak dengan masalah dadah. Mereka ditangkap dan dimasukkan dalam sel berdekatan dengannya.

"Bagaimana dia melalui fasa-fasa itu. Dadah ini adalah satu toksik. Bukan sahaja kepada penagih tetapi juga kepada persekitaran dan keluarganya," katanya semasa berucap melancarkan Karnival Komuniti Prohatin dan Hari Terbuka Universiti Selangor (UNISEL) 2018 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mentari di sini hari ini.

Berdasarkan statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), jumlah penagih yang dikesan mengikut status kes yang dilaporkan pada tahun 2017 adalah sebanyak 18,440 kes baru dan 7,482 kes berulang.

"Ini yang kita nak bendung agar jangan merebak kerana jumlah kes 25 ribu (2017) ini menunjukkan kes baharu penagihan dadah adalah lebih daripada kes berulang. Maksudnya program mencegah dadah ni kita kurang berkesan dan kita penjara-penjara kita masih ramai ditangkap kerana penyalahgunaan dadah,"ujarnya.

Katanya lagi, penyalahgunaan dadah adalah antara punca utama peningkatan kadar jenayah dan jangkitan penyakit berbahaya seperti AIDS.

"Umum mengetahui penagih dadah sangat berisiko dijangkiti penyakit AIDS berikutan perkongsian jarum suntikan ketika aktiviti penagihan dadah dilakukan. Sekiranya penagih telah positif dijangkiti penyakit tersebut, mereka ada kemungkinan untuk menyebar penyakit kepada ahli keluarga terdekat dan keluarga yang tidak bersalah menjadi mangsa.

"Antara hal lain yang memberi kesan daripada penagihan dadah adalah ianya boleh meruntuhkan sistem perpaduan dalam kalangan masyarakat. Pelbagai kesulitan akan timbul dan seterusnya mampu mencetuskan pergaduhan yang membawa kepada ketidaktenteraman dalam institusi masyarakat. Malaysia sebagai negara majmuk kemungkinan akan terjejas sekiranya ia tidak dibendung," tambahnya.

Justeru, beliau menyeru semua komuniti agar menjauhi dadah yang bukan sahaja meruntuhkan institusi kekeluargaan malah tidak memberikan sebarang manfaat kepada masyarakat.