Tutup

Program perancang keluarga: Dakwaan Orang Asli perlu bukti - Menteri Kesihatan

Program perancang keluarga: Dakwaan Orang Asli perlu bukti - Menteri Kesihatan
Dr Dzulkefly berkata, suntikan perancang keluarga ke atas wanita Orang Asli dibuat kerana dasar menyelamatkan wanita daripada anemia atau kurang darah merah ketika hamil. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menyifatkan dakwaan bahawa wanita Orang Asli dipaksa mengikuti program perancang keluarga adalah tidak munasabah dan meminta individu yang terlibat untuk tampil membuktikan dakwaan mereka.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, adalah menjadi prosedur operasi standard (SOP) bagi kementerian itu untuk mengambil tindakan dan langkah sewajarnya dalam menjaga kepentingan dan kebajikan wanita hamil di negara ini.
Beliau berkata kementerian berkenaan tidak boleh bertindak atas dakwaan tersebut tanpa menerima bukti daripada masyarakat itu.

"Dalam hal ini, ia adalah soal prosedur, petugas perubatan kami dah dilatih untuk memberi kefahaman mengenai kesan baik dan buruk program perancang keluarga.
"Saya rasa pelik kalau ada yang dikatakan mengugut dan sebagainya.. itu di luar apa yang saya boleh bayangkan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan itu susulan wakil dari lima perkampungan Orang Asli menyerahkan memorandum kepada kerajaan pada Selasa lalu, mendakwa bahawa antara lain, wanita Orang Asli diberikan pil perancang kelahiran tanpa penjelasan yang mencukupi.

BACA: Suntikan perancang keluarga Orang Asli sebagai langkah keselamatan

Kelmarin, seorang penduduk Orang Asli dari suku Temiar, Nora Kantin, mendakwa kakitangan Kementerian Kesihatan yang melawat perkampungan Orang Asli mengugut wanita Orang Asli supaya mengikuti program perancang keluarga sama ada dengan memakan pil atau suntikan dan sekiranya enggan, kad perubatan mereka akan dirampas.

Menurut Dr Dzulkefly, kementerian akan membuat susulan lanjut mengenai perkara itu sekiranya dakwaan tersebut benar.

"Saya yakin perkara ini akan kita susuli, tak perlu ada apa-apa kekhuatiran, kalau benar ia satu kesilapan kita perlu atasi," katanya.

Terdahulu ketika bercakap di Sungkai, Perak, Dr Dzulkefly berkata, suntikan perancang keluarga ke atas wanita Orang Asli dibuat kerana dasar menyelamatkan wanita daripada anemia atau kurang darah merah ketika hamil.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy, dalam kenyataan, berkata beliau terkejut dengan tuduhan itu dan akan menubuhkan sebuah panel untuk menyiasat perkara itu, selain berjanji membincangkan perkara itu dengan Dr Dzulkefly.

-- BERNAMA