Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumukan Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau dikenali sebagai Program Rehiring akan ditamatkan pada 30 Jun 2018, semalam.

Pengumuman menerusi kenyataan media juga menjelaskan program serah diri secara sukarela atau lebih dikenali dengan nama Program 3+1 akan diteruskan sehingga 30 Ogos 2018.

“Program berkenaan diteruskan bagi membolehkan semua PATI yang berada dalam negara ini dan PATI yang tidak layak untuk meneruskan proses Program Rehiring agar mereka dapat pulang ke negara asal secara sukarela," katanya.

Menurutnya juga, semua utusan dengan vendor-vendor yang dilantik sebelum ini akan ditamatkan serta-merta dan tiada lanjutan tempoh akan diberi.

“Selepas tarikh berkenaan, JIM akan menjalankan gerak gempur operasi penguatkuasaan secara menyeluruh bagi memburu PATI dan majikan yang masih berdegil dan tidak mengambil peluang untuk mengambil pekerja asing secara sah melalui Program Rehiring dan tidak pulang secara sukarela melalui Program 3+1.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan majikan dan pekerja asing mematuhi undang-undang negara, maka langkah tegas ini perlu diambil untuk mengatasi masalah lambakan pekerja asing tanpa izin di negara ini,” jelasnya.

Program Rehiring yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dilaksanakan bagi memberi permit kerja kepada PATI secara sah bagi memenuhi sektor pekerjaan yang dibenarkan iaitu sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan.

Sebanyak 744,942 PATI dan 83,919 majikan telah berdaftar dalam program berkenaan bagi tempoh 15 Februari 2016 hingga 28 Mei 2018.