Tutup

Program 'Sarawakku Sayang' bukan mahu keluar Malaysia, tetapi... - Abang Jo

Program 'Sarawakku Sayang' bukan mahu keluar Malaysia, tetapi... - Abang Jo
Abang Johari (dua kiri) pada majlis pelancaran program Sarawakku Sayang di Kota Samarahan hari ini. Astro AWANI
KOTA SAMARAHAN: Turun padang untuk terus berada dekat dengan rakyat dan memberikan akses tentang khidmat dan dasar kerajaan negeri.

Itu antara matlamat utama pelancaran program 'Sarawakku Sayang' yang dilancarkan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Openg.
Menerusi ucapannya, Abang Johari yang genap mentadbir negeri Sarawak selama tiga tahun hari ini turut membawa warga Kota Samarahan sama-sama untuk menyelami dan memahami kepentingan pembangunan beberapa inisiatif kerajaan negeri dalam terus memajukan negeri Bumi Kenyalang.

Antara yang disebut Abang Jo termasuk fokus pembangunan kawasan luar bandar di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) melibatkan Agensi Pembangunan Ulu Rejang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Lembaga Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).
Selain itu Abang Jo turut menyentuh mengenai pesanan bekas Ketua Menteri Sarawak ke-5 Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengenai kepentingan mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis seperti hak persempadanan, Undang-undang kanun tanah Sarawak, kuasa Imigresen dan Perjanjian Malaysia 1963.

Ujarnya lagi kerajaan negeri di bawah pimpinannya akan terus mentadbir Sarawak dengan komited supaya Sarawak berjaya mencapai status negeri paling maju menjelang 2030.

“Walaupun Putrajaya bertukar pentadbiran, kita tetap uruskan negeri kita,” katanya ketika merasmikan Program Sarawakku Sayang hari ini.

“Pelancaran program ini tidak bermakna kita keluar dari Malaysia tapi jaga rumah kita sendiri.”

Antara lain yang disentuh adalah strategi kepimpinan pertadbirannya yang akan terus mempertahankan sosio budaya dan gaya hidup masyarakat, menyatukan strategi ekonomi dengan kekuatan negeri Sarawak serta dasar sosial daripada aspek pendidikan dan latihan.

Kota Samarahan menjadi lokasi pertama program Sarawakku Sayang dan Sri Aman akan menjadi lokasi kedua penganjuran program ini.