PERAWATAN untuk pesakit mental kini telah jauh berubah.

Kaedah rawatan juga bukan hanya melibatkan ubatan tetapi juga perawatan secara psikoterapi, rehabilitasi yang intensif di samping pendekatan peneguhan spiritual.

Jika dahulu perawat hanya mensasarkan kepada penyembuhan dari segi gejala (symptom recovery) , tetapi kini fokus perawatan adalah ke arah mengembalikan fungsi seseorang individu (functional recovery).

Fungsi sesorang individu bukan sahaja terhad kepada kemahiran mengurus diri, penjagaan kesihatan dan pengendalian kewangan tetapi antara fungsi yang paling penting adalah untuk menyara hidup atau bekerja.

Hakikatnya, tidak ramai mereka yang mengalami penyakit mental serius yang bekerja sedangkan pekerjaan merupakan satu elemen yang penting dalam hidup seseorang individu.

Ia bukan sahaja berperanan untuk membantu dari segi kewangan tetapi dari segi sokongan sosial, meningkatkan keyakinan diri, autonomi serta pekembangan diri.

Jadi indikator

Kebolehan untuk bekerja merupakan satu perkara yang sering disebut oleh pesakit apabila bercakap mengenai proses penyembuhan.

Ia merupakan satu indikator penting untuk pesakit bagi membolehkan mereka merasakan bahawa mereka telah sembuh dengan baik. Oleh itu, ia kini merupakan antara objektif utama dalam perawatan psikiatri.

Ramai menganggap bahawa pesakit mental tidak boleh bekerja dan ini merupakan satu tanggapan yang salah. Dengan perawatan serta proses rehabilitasi yang berkesan, pesakit mampu untuk sembuh serta menjalani kehidupan seperti orang lain.

Proses penyembuhan adalah lebih baik apabila pesakit mendapatkan rawatan awal, mengambil ubatan secara teratur serta mengikuti proses rawatan yang dirancang.

Usaha untuk membantu pesakit kembali bekerja telah lama dijalankan melalui proses rehabilitasi. Dahulunya, konsep seperti bengkel terlindung (sheltered workshop) telah diperkenalkan di mana pesakit dilatih terlebih dahulu dan kemudiannya ditempatkan bekerja.

Bagaimanapun, didapati ramai yang terus berada di bengkel terlindung selama bertahun-tahun tanpa beralih ke sektor pekerjaan terbuka.

Model sokongan

Konsep ini kini telah diperbaharui menerusi program sokongan pekerjaan di mana pesakit ditempatkan dahulu di tempat kerja dan kemudianya dilatih berdasarkan model penempatan dan sokongan individu (Individual and Placement Support).

Ia telah diperkenalkan Dartmouth Medical Centre, Amerika Syarikat (AS) kerana mereka mendapati bahawa ramai pesakit yang berpotensi untuk bekerja di pasaran terbuka serta bersaing dengan orang lain jika diberi peluang yang sewajarnya.

Model sokongan pekerjaan berdasarkan penempatan dan sokongan individu ini telah terbukti keberkesanannya menerusi banyak kajian yang telah dibuat.

Antara hasil kajian mendapati bahawa pesakit yang melalui program ini berjaya mendapatkan kerja sebanyak 56 peratus berbanding 22 peratus secara konsep terdahulu.

Mereka juga berjaya mendapatkan kerja dengan lebih cepat dan kadar keciciran juga adalah rendah iaitu sembilan peratus berbanding 42 peratus di kalangan pesakit yang tidak menyertai program sokongan pekerjaan.

Di manakah Program Sokongan Pekerjaan ini dijalankan?

Di Malaysia, program ini mula dijalankan di Hospital Permai mulai tahun 2009 dan mereka telah menyediakan garis panduan bertajuk 'Work: Pathway to recovery' untuk membolehkan program sokongan pekerjaan ini dilaksanakan di Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (PKMM) atau lebih dikenali sebagai Mentari di seluruh negara.

Pada masa kini, terdapat 25 buah Mentari di seluruh Malaysia.

Selain daripada menjalankan saringan serta memberikan rawatan kepada pesakit, aktiviti di Mentari adalah lebih menjurus kepada pemantapan proses rehabilitasi dan intervensi psikososial.

Rehabilitasi yang dijalankan di Mentari adalah berteraskan kepada membantu pesakit untuk kembali bekerja (work based rehabilitation).

Pesakit akan dibantu dari segi rehabilitasi kemahiran asas, panduan kerja yang bersesuaian, latihan untuk menghadiri temuduga, bertemu majikan serta pemantauan di tempat kerja apabila pesakit berjaya mendapatkan pekerjaan.

Program sokongan pekerjaan ini dijalankan oleh pegawai sokongan pekerjaan atau dikenali sebagai 'employment specialist' yang terdiri daripada paramedik ataupun jurupulih cara kerja.

Pesakit akan diberikan sokongan yang diperlukan untuk mendapatkan pekerjaan seperti belajar menggunakan kemahiran dalam suasana yang baru, mencari penginapan, penyesuaian ke tempat kerja dan kemahiran membina hubungan yang baik dengan rakan sekerja.

Mereka juga akan dilatih dalam penyelesaian masalah dan kemahiran berkomunikasi.

Ini bermaksud bahawa sokongan yang diberikan adalah tidak terhad kepada isu pekerjaan sahaja tetapi turut merangkumi aspek-aspek lain dalam kehidupan mereka yang boleh memberikan kesan kepada pekerjaan.

Secara umumnya, program sokongan pekerja berperanan untuk membantu pesakit pulih di dalam komuniti, memberikan pesakit peluang untuk membuat keputusan bersama serta meningkatkan fungsi serta kualiti hidup.

Siapakah yang layak untuk menyertai program sokongan pekerjaan?

Semua pesakit psikiatri yang berumur antara18 sehingga 60 tahun adalah bekelayakan untuk menyertai program ini.

Tiada kriteria pengecualian untuk program ini asalkan pesakit berminat untuk bekerja.

Pesakit bagaimanapun perlu mempunyai kemahiran asas dalam pengurusan aktiviti harian, patuh kepada rawatan serta mempunyai keadaan mental yang stabil.

Prinsip asas program ini adalah:

1. Penilaian ringkas serta pilihan pekerjaan mengikut minat pesakit

Tiada penilaian yang rumit dijalankan ke atas pesakit. Pesakit hanya perlu mengisi borang senarai semak minat bekerja (Job Interest Checklist) yang cuma mengandungi data peribadi, sejarah pekerjaan dan pekerjaan yang diingini.

2. Bekerja di pasaran terbuka

Sasaran program ini adalah untuk pesakit bekerja secara kompetetif, menerima gaji yang sama dengan orang lain, di dalam komuniti dan bersama-sama dengan individu lain yang tidak mempunyai ketidakupayaan.

3. Integrasi antara perawatan serta pekerjaan

Integrasi antara mereka yang terlibat dalam jaringan program ini terutamanya antara perawat, pegawai sokongan pekerjaan dan majikan adalah sangat penting.

4. Pencarian kerja dengan cepat dan intensif

Program ini menekankan kemasukan segera ke dalam pekerjaan. Sebaik sahaja pesakit menyatakan minat untuk mula bekerja, maka pegawai sokongan pekerjaan akan mula mencari kerja dan pencarian kerja dijalankan berulang kali sehinggalah pesakit dapat ditempatkan.

5. Sokongan yang berterusan

Pesakit yang telah bekerja akan diberikan sokongan yang intensif secara individu dan berterusan. Pegawai sokongan pekerjaan boleh memberikan sokongan secara pemantauan langsung di tempat kerja atau menerusi telefon, mengikut kesesuaian. Majikan juga boleh membantu dari segi memberi nasihat dan sokongan. Pada masa ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memberikan kemudahan Elaun Pekerja Cacat (EPC) untuk individu kurang upaya termasuk dari segi mental yang mampu bekerja. Elaun ini diberikan sebagai satu insentif untuk pesakit terus bekerja.

Antara cabaran yang ditempuhi ialah untuk mendapatkan majikan yang faham serta bekerjasama dalam menempatkan pesakit psikiatri sebagai pekerja di premis mereka.

Oleh itu, taklimat dan rangkaian kerjasama perlu diwujudkan untuk memberikan kefahaman serta meningkatkan keterbukaan majikan terhadap program ini.

Usaha turut dijalankan untuk mempromosikan program ini terutamanya kepada pesakit serta keluarga di samping pemimpin setempat, badan bukan kerajaan serta agensi yang terlibat dalam membantu menjayakan program ini.

Walaupun adakalanya berhadapan dengan kesukaran tetapi ia bukan mustahil untuk meningkatkan lagi bilangan pesakit mental yang bekerja di masa hadapan.


* Dr Firdaus Abdul Gani adalah Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA)

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI