Kerajaan Sarawak akan melancarkan program vaksinasi haiwan kesayangan secara besar-besaran di seluruh negeri ini pada Selasa sebagai usaha mencegah wabak rabies dari terus membiak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan melalui Jabatan Veterinar Negeri, Jabatan Kesihatan, Dan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) kini giat melakukan persiapan bagi melaksanakan program berkenaan.

“Langkah berjaga-jaga perlu diambil termasuk menangkap anjing-anjing liar. Tetapi salah satu daripada program besar yang akan adalah melakukan pemvaksinan untuk anjing. Ia mesti dilakukan di seluruh negeri.

“Kita telah melakukannya di Sibu, dan kita akan memperluaskannya ke Miri, Kapit, Kanowit dan di seluruh negeri ini.” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan larian sempena ulangtahun ke 100 Industri Minyak Sawit Malaysia di Kuching pagi Ahad.

Selain itu Douglas menambah, kawalan di sempadan negeri juga akan diperketatkan sebagai langkah menghalang anjing-anjing dari negara jiran memasuki Sarawak.

“Saya berharap langkah ini dapat berjalan lancar sebagai usaha memastikan kawasan terjejas rabies tidak akan melebihi kawasan Julau, yang mana kawasan berkenaan adalah yang terakhir dilaporkan terkesan akibat wabak itu,” katanya.

Douglas yang juga pengerusi JPBN menambah, langkah kerajaan melancarkan kempen memerangi wabak rabies termasuk menangkap anjing-anjing liar sebelum ini telah disalah anggap sebagai memerangi anjing, sekali gus menjadi salah satu faktor kurang keberkesanan dari segi langkah mencegah pembiakan wabak itu.

Tegas beliau, kerjasama serta kesedaran orang awam amat penting dalam menangani wabak itu dan menyeru masyarakat mendapatkan rawatan segera jika digigit anjing supaya pencegahan awal dapat dilakukan.