Program Youth Co:Lab kini dilancarkan di Malaysia

Program Youth Co:Lab kini dilancarkan di Malaysia
Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC Ashran Ghazi berkata pemilihan Sabah sebagai lokasi adalah salah satu cara bagi penganjur untuk membawa isu cabaran masyarakat ini ke arus perdana.
CYBERJAYA: Usahawan muda dengan impian untuk menjana pembangunan mampan buat masyarakat setempat kini mempunyai peluang cerah untuk mencapai cita-cita mereka.

Program Youth Co:Lab anjuran Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bersama Citi Foundation dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) buat pertama kalinya dilancarkan di Malaysia pada Rabu.

Program yang sudah beroperasi di 11 buah negara di seluruh dunia termasuk Thailand, Filipina dan Nepal ini akan melatih usahawan sosial muda yang terpilih untuk menyertai bootcamp dan peserta yang dipilih akan dapat mewakili negeri dan kemudian Malaysia ke acara cabaran Youth Co:Lab Asia Pasifik.

Tiga negeri dipilih untuk menjadi lokasi bootcamp ini termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sabah.
Peserta yang dipilih harus menawarkan jalan penyelesaian kepada isu-isu semasa yang melibatkan masyarakat setempat menerusi inovasi dan keusahawanan sosial.

Program ini akan bermula pada September 2018 dan akan menghubungkan usahawan muda dengan pakar-pakar dalam industri, pemimpin kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pelaburan dan pihak swasta, untuk membantu mengembangkan idea mereka dan mencipta model perniagaan yang sesuai bagi menyelesaikan isu terbabit.

Antara isu yang dipandang berat termasuk mengenai golongan tanpa dokumen identiti yang dikenali sebagai salah satu masalah di negeri Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC Ashran Ghazi berkata pemilihan Sabah sebagai lokasi adalah salah satu cara bagi penganjur untuk membawa isu cabaran masyarakat ini ke arus perdana.

"Pada asasnya, program ini diwujudkan untuk memberi anak-anak muda peluang untuk mempelajari isu di bawah.

“Di peringkat Malaysia, kami telah memilih tiga isu utama iaitu mencipta peluang menjana pendapatan buat golongan tanpa dokumen, kemampanan alam sekitar dan penjimatan tenaga, serta keterangkuman kewangan.
   
“Tiga tema ini dipilih kerana mereka begitu dekat dengan masyarakat di Malaysia terutamanya golongan yang mungkin terpinggir dari arus semasa,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program tersebut di ibu pejabat MaGIC di Cyberjaya.

Sementara itu, Penyelaras Presiden PBB bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Stefan Priesner berkata anak-anak muda merupakan kunci kepada penyelesaian masalah di masa depan, terutamanya yang membabitkan kemajuan Agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
 
“Kami yakin jika anak-anak muda diberikan peluang untuk belajar dari pakar-pakar yang terbaik, mereka akan mampu menjadi salah satu penyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi sesebuah tempat. Di Malaysia, kami mahu berkongsi kejayaan program ini di negara-negara lain dan mengharapkan pulangan yang sama atau berlipat ganda di sini,” katanya.
 
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Citi Malaysia dan wakil Yayasan Citi, Lee Lung Nien.

Permohonan dibuka dari hari ini sehingga 26 Oktober 2018. Untuk maklumat lanjut, boleh layari https://mymagic.my/youth_colab .