Tutup

Projek Bandar Malaysia diteruskan dengan lebih banyak penyertaan Bumiputera - Tun Mahathir

Projek Bandar Malaysia diteruskan dengan lebih banyak penyertaan Bumiputera - Tun Mahathir
Dr Mahathir ketika menjawab pertanyaan media pada sidang media khas di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur, hari ini. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Projek Bandar Malaysia diteruskan dengan beberapa pindaan dan lebih banyak penyertaan Bumiputera, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir menjelaskan, projek tersebut akan memberi kesan besar terhadap pembangunan bandar bagi Malaysia, menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan menjana nilai pembangunan kasar (GDV) yang dijangka sebanyak RM140 bilion.
Katanya, Bandar Malaysia akan menarik institusi kewangan utama antarabangsa dan syarikat multinasional untuk membuka ibu pejabat rantau.

"Di samping itu, gergasi teknologi seperti Alibaba dan Huawei juga telah menunjukkan minat untuk mewujudkan pusat ICT mereka.
"Selaras dengan dasar kerajaan supaya pembangunan sebegini akan mengutamakan rakyat dan menambah nilai substantif kepada ekonomi, projek itu juga akan membina Taman Rakyat, dan 10,000 unit rumah mampu milik," katanya ketika sidang media di Yayasan Al-Bukhary pada Jumaat.

Selain itu, Dr Mahathir juga menjelaskan perubahan yang dibuat untuk projek Bandar Malaysia ialah penyertaan bumiputera dalam projek tersebut dan keutamaan diberikan untuk sumber-sumber tempatan dalam proses pembinaan.

Keputusan meneruskan projek Bandar Malaysia dibuat seminggu selepas kerajaan mengumumkan akan meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dr Mahathir berkata konsortium IWH-CREC yang memenangi tender untuk membangunkan Bandar Malaysia, sebenarnya adalah sebuah syarikat Malaysia.

Kerajaan Malaysia, katanya, memiliki 40 peratus pegangan, manakala syarikat China hanya 24 peratus dan baki selebihnya milik syarikat-syarikat asing.

"Kami (pada awalnya) beranggapan ia diberikan sepenuhnya kepada syarikat China. Apabila dilakukan siasatan, syarikat yang menjalankan kerja awal bagi Bandar Malaysia sebenarnya bukan syarikat China," katanya.

Boleh dikatakan ia adalah syarikat kerajaan, tambahnya.

"Disebabkan itu, kami mengubah pendirian dan kami mahu mengembalikan semula Bandar Malaysia kepada syarikat yang pertama memenangi bidaan (IWH-CREC)," kata Dr Mahathir.

Beliau turut menjelaskan, semasa kerajaan menamatkan kontrak IWH-CREC, ia membayar balik deposit berjumlah kira-kira RM800 juta kepada konsortium itu.

"Sekarang mereka perlu membayar balik kepada kerajaan.

"Kerajaan menyambut baik komitmen oleh IWH-CREC yang membuat pembayaran pendahuluan sebanyak RM500 juta selain jumlah deposit asal RM741 juta, yang akan dibayar dalam masa 60 hari daripada tarikh kerajaan meneruskan semula secara rasmi projek itu," katanya.








Tag: Bandar Malaysia, Alibaba, Huawei, bandar, ekonomi, pembangunan, pelaburan, Malaysia, China, kerajaan, rakyat, Mahathir Mohamad, GDV, FDI, pembangunan bandar, IWH-CREC, syarikat Malaysia, tender



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.