Projek Perintis Kebenaran Bekerja untuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dari etnik Rohingya akan bermula secara rasmi 1 Mac ini, ujar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelasnya, projek perintis itu akan membolehkan 300 pemegang kad UNHCR etnik Rohingya yang melepasi tapisan keselamatan dan saringan kesihatan untuk bekerja.

"Kesemua mereka akan ditempatkan di syarikat-syarikat terpilih dalam sektor perladangan dan pengilangan bertujuan memberikan kemahiran dan sumber kewangan untuk membina kehidupan sebelum ditempatkan semula ke negara ketiga," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Mengenai Isu-Isu Berkaitan UNHCR di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Perkara itu adalah antara empat usaha dilaksanakan kerajaan Malaysia dan UNHCR dalam mengendalikan pelarian di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Selain itu, kerajaan akan menyemak semula Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No.23 bagi memastikan pengurusan pemegang kad UNHCR di Malaysia dapat dibuat dengan lebih kemas dan teratur.

"Pada masa sama, pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam menguruskan isu-isu pelarian dengan lebih berkesan melalui penubuhan Pasukan Petugas Bersama (JTF) Malaysia," katanya lagi.

JTF berkenaan melibatkan kerjasama enam kementerian utama dengan pihak UNHCR untuk memastikan kesahihan pemegang kad UNHCR adalah mereka yang benar-benar telah sah diperakukan.

Malaysia dan UNHCR turut berusaha menangani isu-isu pemerdagangan orang.

"Secara tidak langsung, inisiatif membenarkan etnik Rohingya bekerja dapat menangani isu-isu pemerdagangan orang dengan lebih berkesan," tambahnya.

Mesyuarat berkenaan turut mengambil maklum seramai 149,474 pemegang kad UNHCR berada di Malaysia sehingga 31 Disember lalu.

Daripada jumlah itu, 133,517 orang adalah dari Myanmar termasuk 55,565 orang melibatkan etnik Rohingya.