Selepas beberapa tahun ditangguh, kerajaan negeri Selangor akhirnya bersetuju membenarkan Loji Rawatan Air Langat 2 dibina.

Projek tersebut dijadualkan mula dibina pada 2010 namun ditangguhkan atas sebab keengganan kerajaan Selangor mengeluarkan perintah pembangunan.

Pada Rabu, kerajaan Persekutuan dan negeri Selangor menandatangani memorandum persefahaman (MOU) yang membenarkan kerajaan negeri mengambil ekuiti daripada empat syarikat konsesi.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mewakili kerajaan Persekutuan sementara Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mewakili kerajaan negeri semasa upacara menandatangani MOU di Kompleks Putra Perdana.

Majlis tersebut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Sebaik siap, Langat 2 dapat menghasilkan 1.89 bilion liter air bersih bagi memenuhi permintaan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga 2025.

Abdul Khalid Ibrahim berkata, pengambilalihan ini dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

Katanya, empat syarikat akan diletakkan dibawah syarikat air konsortium, yang akan bernaung di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), sebuah syarikat milik penuh negeri.

Empat syarikat tersebut ialah Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS).

Dalam satu kenyataan media baru-baru ini, Abdul Khalid berkata, pengambilalihan itu akan melibatkan ekuiti, tanggungjawab dan pengekalan kakitangan bukan pengurusan.

“KDEB akan membayar RM 9.65 bilion kepada pemegang saham keempat-empat syarikat itu sementara kerajaan Persekutuan akan menambah RM2 bilion kepada perjanjian ini dalam membantu kerajaan negeri dalam proses pengambilalihan ini,” katanya.

Sebagai balasan, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengeluarkan perintah pembangunan untuk membina Loji Rawatan Air Langat 2 dan sistem pengagihan (LRAL2).

Tambahnya lagi, sementara menunggu loji rawatan Langat 2 ini disiapkan, kerajaan negeri Selangor akan memastikan air bersih dibekalkan selain menjalankan program tebatan bernilai RM900 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan.

Menurut Abdul Khalid, negeri tersebut turut akan memulakan Sistem Pembesaran Sungai Hibrid di Sungai Selangor sekaligus mengurangkan peratusan air yang tidak boleh diperbaharui dalam masa enam bulan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama Abdul Khalid, Ongkili berkata kerajaan negeri perlu meluluskan pembinaan loji rawatan tersebut dalam tempoh 30 hari daripada majlis menandatangani MOU.